Kenapa kempen pengibaran Jalur Gemilang sejak beberapa tahun dahulu sudah pudar kemeriahannya? Segala-gala yang berlaku itu tentu ada sebabnya. Kerajaan, khususnya Menteri yang bertanggungjawab itu semestinya memahami apakah elemen-elemen yang membuatkan sambutan kempen itu mandapat sambutan atau sebaliknya.
Dalam sesuatu masalah perkara yang paling penting kita mesti selami ialah memahami masalah ‘up to specific'. Apabila masalah itu dikenal pasti secara ‘detailed' barulah boleh mencari jalan untuk mencari penyelesaiannya dan menjayakan kempen itu. Apabila disebut tentang pengibaran Jalur Gemilang ini ia tidak boleh lari dari keriangan kita semua untuk menzahirkan rasa cintakan negara. Ia akan hanya boleh berlaku jika dengan sejujur-jujurnya rakyat merasakan cintakan negara itu.
Jika rakyat ramai benar-benar berpuas hati dan rasa cintakan negara itu benar-benar wujud, tidak perlu diadakan kempen besar-besaran. Rakyat akan dengan sendirinya mengambil kesempatan menyambut hari kemerdekaan negara itu sebagai peluang untuk menunjukkan semangat sayangkan negara itu. Kempen itu akan dengan mudah mendapat sambutan tanpa perlu tekanan dan desakan untuk mengibarkan bendera negara itu.
Rakyat tidak mahu melakukan perkara yang mereka tidak begitu ghairah untuk melakukannya. Rakyat tidak berpuas hati kerana rasa tidak menentu politik negara. Rakyat begitu keliru untuk mendapatkan yang mana satu yang betul dan benar. Semuanya mempunyai persoalan sendiri samada mereka yang sedang berkuasa dan mereka yang membangkangnya.